KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub menegaskan tidak wujud krisis kekurangan bekalan minyak masak paket bersubsidi di pasaran runcit tempatan.

Begitupun, beliau tidak menafikan ada beberapa kawasan berdepan masalah kekurangan bekalan minyak tersebut.

Menurutnya, kuota 60,000 tan metrik minyak masak yang dibekalkan setiap bulan juga adalah mencukupi buat masa ini.

Justeru, beliau menyatakan KPDN tidak berhasrat untuk mengambil tindakan keras terutamanya terhadap peniaga kecil yang turut sama membeli minyak masak paket bersubsidi  itu walaupun ia dikhaskan untuk isi rumah.

“Kita tidak boleh terlalu keras menguatkuasakan isu ini kerana yang membeli minyak paket bersubsidi termasuklah peniaga-peniaga kecil, golongan IKS (Industri Kecil Sederhana) yang berniaga di warung kecil.

“Juga pada peniaga restoran yang baru nak mula dan industri-industri IKS yang mahu pulih selepas berlakunya pandemik.

“Oleh it, KPDN dalam keadaan yang cukup berhati-hati. Keperluan isurumah mesti dipenuhi tapi desakan daripada peniaga kecil mestilah disantuni.

“Maka kita terpaksa melakukan peranan timbang tara. Cadangan kuota itu ditambah adalah relevan tapi KPDN tidak boleh bekerja sendirian,” katanya pada Sidang Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Cha Kee Chin (PH - Rasah) yang bertanya adakah kerajaan bersedia untuk menambahkan kuota bekalan minyak masak paket bersubsidi di pasaran runcit tempatan agar bekalannya mencukupi.