KUALA LUMPUR: Beberapa buah rumah di Flat Sri Sabah di ibu negara dilaporkan terbakar pada malam Ahad.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Pudu memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.19 malam.

Katanya, beberapa jentera dikerah termasuh bantuan dari beberapa balai bomba.



Jelasnya, setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan.



Insiden kebakaran itu turut dirakam oleh beberapa penduduk di flat terbabit.

Sebelum itu, pihak bomba berdepan sedikit kesulitan untuk memadam kebakaran apabila beberapa individu meletakkan kenderaan di bahu jalan.

Keadaan itu memaksa pasukan penyelamat meminta bantuan trak tunda Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bagi menunda keluar kenderaan yang menghalang jalan bagi membuka laluan kepada jentera bomba.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa di laman X turut memaklumkan sudah meminta pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk menyediakan bantuan diperlukan.