Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada 5.19 pagi.
Menurutnya, setibanya jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River di lokasi, didapati kebakaran melibatkan bas ekspres dua tingkat yang terbakar 80 peratus.
“Semasa kejadian, bas tersebut membawa 17 penumpang iaitu 14 lelaki dan tiga wanita.
“Kesemua penumpang telah berjaya keluar sebelum kebakaran merebak dan tiada penumpang yang cedera,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, anggota bomba membuat kerja pemadaman menggunakan tiga hose reel dan satu aliran satu pancutan 100 kaki bersumberkan air dari tangki air jentera.
Sementara itu, ketua operasi, Pegawai Bomba Kanan II Isma Mohamad Ubadullah berkata, bas ekspres itu dikatakan dalam perjalanan dari Segamat, Johor ke Kangar, Perlis.

Menurutnya, kebakaran dipercayai bermula daripada bahagian enjin yang terletak di bahagian belakang bas.
Operasi pemadaman itu yang turut dibantu anggota dari BBP Tanjung Malim tamat jam 7.23 pagi.