MELAKA: Seorang wanita tidak menyangka keceriaan abang dan kakak iparnya yang menyambut serentak ulang tahun kelahiran anak merupakan kenangan terakhir mereka bersama sebelum pasangan itu terkorban dalam kemalangan malam tadi.

Nur Aqilah Mazupi, 31, berkata, sebelum ini abang, Khairul Izwan dan isterinya, Fadzlenna Ramli, masing-masing berusia 32 tahun, tidak pernah menyambut ulang tahun kelahiran ketiga-tiga anak mereka berusia tujuh, empat dan dua tahun.

Menurutnya, masih terngiang-ngiang di telinganya apabila arwah memaklumkan meraikan majlis sambutan itu supaya dapat berlaku adil kepada anak-anaknya, termasuk bayi lelaki berusia dua tahun, secara serentak, di kediaman mereka di Bangi, Selangor pada awal bulan ini.

"Sebelum ini, tak pernah pun mereka sambut ulang tahun kelahiran bersama-sama sedangkan salah seorang anak saudara saya menyambut ulang tahun pada Februari depan manakala dua lagi pada Disember ini.

"Rupanya itu yang pertama dan terakhir mereka sambut ulang tahun anak-anak selain seorang anak bongsu mereka juga turut terkorban dalam insiden itu," katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka di sini pada pagi Selasa.

Nur Aqilah yang bekerja sendiri berkata, kali terakhir dia berjumpa dengan keluarga abangnya itu pada Sabtu lalu sebelum arwah sekeluarga bertolak ke Melaka untuk perjumpaan keluarga yang diadakan oleh keluarga sebelah kakak iparnya.

"Tiada sebarang perubahan atau apa yang pelik, cuma anak buah saya iaitu anak bongsu arwah, Umar beberapa kali melambai-lambai ke arah kami, sebelum kenderaan bergerak hingga mereka hilang daripada pandangan.

"Itulah lambaian terakhir yang kami terima sebelum menerima khabar mereka tiga beranak maut manakala dua anak mereka masih dirawat di hospital," katanya.

Tambah anak bongsu daripada tiga beradik itu, pasangan terbabit yang kedua-dua bekerja sebagai pembantu perubatan bukan sahaja rapat dengan adik-beradik lain, malah sikap mereka suami isteri suka membantu orang.

"Abang saya bekerja di Hospital Kuala Lumpur (HKL) manakala isterinya di Hospital Serdang dan kedua-duanya sangat baik orangnya.

"Setakat ini, saya belum berbincang dengan keluarga ketiga-tiga arwah akan dikebumikan di mana dan menunggu ibu ayah yang datang ke sini dari Kuala Lumpur," katanya.

Media hari ini melaporkan tujuh maut termasuk lima sekeluarga apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan termasuk sebuah treler dan bas persiaran di Kilometer 204.0 Lebuhraya PLUS arah utara di sini semalam.

Mangsa yang maut dalam kemalangan kira-kira jam 8.30 malam itu, pemandu dan penumpang MPV, Khairul Izwan, Fadzlenna, anak bongsu mereka Muhammad Umar, dua tahun, bapa Fadzlenna, Ramli Ab Wahab, 66 tahun, dan pemandu bas persiaran Noorisnien Khamid, 56 tahun.

Dua lagi mangsa, masing-masing seorang penumpang MPV dan bas persiaran, masih belum dikenal pasti. 

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, dua lagi anak pasangan itu, Nur Sofea Humaira, empat tahun, dirawat di zon kuning Hospital Melaka dan Muhammad Uwais Al-Qarni, tujuh tahun, dirawat di zon merah hospital yang sama.

Turut tercedera, anak saudara pasangan itu, dipercayai seorang kanak-kanak, namun belum dikenal pasti identitinya.

Ujarnya, punca kemalangan disebabkan bas persiaran terbabit melanggar tayar lori di tengah jalan menyebabkan kenderaan berat itu hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan lalu berlanggar dengan tiga kenderaan lain.

Seramai 40 orang terlibat dan tujuh daripadanya meninggal dunia, manakala 33 telah dihantar ke hospital akibat cedera dalam kemalangan ini. - Sinar Harian