KUALA TERENGGANU: Meskipun terpaksa menduduki peperiksaaan dalam serba kekurangan selepas tempat menimba ilmu mereka ditenggelami banjir, itu tidak  melunturkan semangat para pelajar untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada hari ini.

Itu situasi yang dilalui seramai 131 calon SPM dari Sekolah Menengah Agama Mahmudiah, Kuala Berang selepas kelengkapan sekolah termasuk pakaian dan kasut ditenggelami air.

Berikutan bencana alam itu juga kesemua pelajar berkenaan terpaksa menumpang di Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin, Kuala Terenggau untuk menduduki peperiksaan penting itu.

Beberapa pelajar yang ditemui berkata, walaupun sukar untuk berdepan detik itu, mereka tetap tabah mengharunginya bagi menentukan hala tuju masa depan mereka selepas tamat alam persekolahan.
 

Walaupun emosi mereka sedikit terganggu dengan bencana yang berlaku, namun para pelajar telah menyiapkan diri dari segi mental dan fizikal untuk masuk ke dewan peperiksaan.

"Saya rasa macam terkejut juga sebab kita kena menduduki peperiksaan di sekolah lain, sebab sudah biasa suasana sekolah kita.

"Di sekolah lain kita rasa suasana lain, tapi cikgu sekolah kami bertungkus lumus untuk menyiapkan bahan-bahan, saya boleh nampak pengorbanan besar cikgu pada kami," kata calon SPM, Ahmad Zulhilmi Jamaluddin.

Bagi Ahmad Nauiddin Mohamad Zaik pula, cikgu banyak beri nota-nota penting untuk dirujuk selepas bahan rujukan sebelum ini hilang akibat banjir.

"Untuk pelajar Sekolah Menengah Agama Mahmudiah, kami sudah bersedia. Sebelum ini cikgu-cikgu dan kawan-kawan di seluruh negeri telah memberikan nota untuk mangsa banjir dan kami boleh rujuk melalui telefon untuk mengetahui info dan bahan rujukan yang telah hilang selama ini," katanya.

Jelas mereka lagi pengalaman berdepan banjir ketika tiga hari menjelang tiga hari peperiksaan bermula pasti akan tersemat di minda mereka.

Banjir gelombang kelima yang melanda Terengganu sejak Jumaat lalu menyebabkan lebih 300 calon SPM yang terjejas banjir di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri Satiful Bahri Mamat berkata mereka adalah pelajar empat sekolah iaitu tiga di daerah Hulu Terengganu dan sebuah di Kemaman.

Seramai 131 pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Mahmudiah dipindahkan ke SMA (Atas) Sultan Zainal Abidin di Kuala Terengganu manakala 63 pelajar Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Hulu Terengganu dipindahkan ke SM Imtiaz Kuala Terengganu.

Sementara itu seramai 41 calon Madrasah Moden Hulu Terengganu dipindahkan ke SMA Khairiah di Kuala Terengganu dan seramai 84 calon Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Putih dipindahkan ke SMK Cheneh Bharu.