JOHOR BAHRU: Penduduk yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) susulan rumah dinaiki air, tidak perlu bimbang terhadap keselamatan harta benda di kediaman masing-masing.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata jaminan itu diberikan berikutan pihaknya telah mengarahkan lebih 5,000 anggota dari seluruh negeri untuk meningkatkan kawalan dan rondaan di kawasan kediaman terjejas, berkuat kuasa hari ini.

"Polis jamin keselamatan rumah yang ditinggalkan penduduk yang terpaksa berpindah ke PPS akibat banjir. Kita sudah mengarahkan semua polis di setiap daerah khusus di daerah terjejas banjir. Sebagai contoh di Kluang, anggota ditempatkan 24 jam di laluan-laluan utama demi menjaga keselamatan sekitar.

"Selain daripada usaha menyelamat, kita juga bertanggungjawab memastikan keselamatan rumah atau premis yang ditinggalkan tidak diceroboh oleh individu tidak diingini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

IKUTI LAPORAN KOMPREHENSIF BANJIR DI SINI!

Beliau berkata pihaknya juga akan meningkatkan jumlah keanggotaan dari semasa ke semasa selain memastikan kerjasama erat antara agensi keselamatan yang terlibat dalam operasi ketika banjir.

Jumlah mangsa banjir meningkat kepada 5,528 orang setakat 12 tengah hari ini dengan 58 PPS beroperasi di tujuh daerah iaitu Kota Tinggi, Kluang, Segamat, Mersing, Batu Pahat, Muar dan Pontian.

-- BERNAMA