Ahli Jawatankuasa (AJK) Persatuan Penduduk Taman Chepor Impian, Roslan Abdul Aziz mendakwa kejadian banjir kilat beserta lumpur yang berulang itu adalah disebabkan projek perumahan baharu di kawasan berdekatan.
Jelasnya, sebanyak 12 buah rumah dimasuki air lumpur dan selut, di samping tiga lorong yang terjejas di taman tersebut.
"Banjir kilat lumpur ini sudah terjadi dua kali dalam tahun sama. Puncanya, setakat ini, yang kita lihat adalah disebabkan pemaju perumahan di sebelah taman ini.
"Saya ada berjumpa dengan subkontraktor, katanya mereka akan label jalan di sebelah taman ini dan korek longkang serta bersihkan kawasan ini buat sementara.
"Anggaran kerugian harta benda belum boleh dinilai sebab baru berlaku, tetapi saya difahamkan banyak rumah yang dimasuki air lumpur dan menyusahkan penduduk.
"Kita sudah buat laporan polis dan jika pihak pemaju yang berkenaan tidak beri sebarang maklum balas maka kita akan ambil tindakan susulan," katanya ketika ditemui semalam.
Beliau berkata, pihaknya mahu mengatur pertemuan bersama pihak pemaju, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan wakil penduduk bagi memastikan isu itu tidak berulang.
"Kami mahu berjumpa dengan MBI dan pemaju, di samping menuntut ganti rugi bagi mangsa yang terbabit.
"Untuk sementara waktu, kita usahakan sendiri untuk bersihkan lumpur di lorong yang terjejas," katanya.
Sementara itu, Nourashikin Yusoff yang sudah menetap di situ sejak 20 tahun lalu berkata, bencana itu tidak pernah berlaku sebelum ini.
"Setahu kami, air turun dari projek perumahan yang sedang dijalankan dekat sini, kali pertama air naik sampai buku lali tetapi sekarang sampai paras pinggang.
"Ada rumah yang dimasuki air melalui sistem kumbahan iaitu dari tandas. Boleh dikatakan semua barang dalam rumah rosak. Kereta pun dimasuki air.
"Sekarang kami dalam proses untuk cuci rumah dan sebagainya," katanya sambil menambah, buat masa ini penduduk menunggu tindakan susulan dari pemaju dan jalan penyelesaian.