KOTA KINABALU: Hujan lebat berterusan di daerah Kota Kinabalu sejak petang Ahad menyebabkan beberapa buah kawasan, kampung dan jalan-jalan utama dinaiki air.

Menerusi satu kenyataan di laman Facebook Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Sabah, anggota APM daerah Kota Kinabalu telah digerakkan sehingga awal pagi ini untuk membantu menyelamatkan mangsa.

Dua pasukan penyelamat APM dikerah ke kawasan 'hotspot' dan lokasi aduan untuk pemantauan dan tindakan susulan.

Antara lokasi yang dipantau termasuk Kampung Rampayan, Kampung Mensiang Menggatal, Kampung Kionsom Menggatal dan Kampung Kitobu.

Setakat ini anggota APM Daerah Kota Kinabalu sedaya upaya membantu penduduk di kawasan yang terjejas.

Justeru menurutnya, orang ramai dinasihati untuk sentiasa peka dan berwaspada dengan keadaan sekeliling selain sentiasa patuh pada arahan daripada anggota penyelamat.

Situasi banjir turut melanda daerah di Tuaran dan Tamparuli.

Menurut APM Sabah, antara lokasi yang kini giat dipantau adalah Kampung Bantayan Tamparuli di mana air Sungai Tamparuli telah melimpah ke kawasan rumah penduduk kampung.

Selain itu di Jalan Kiulu-Tamparuli, berlakunya insiden tanah runtuh dan pokok tumbang di kawasan lereng bukit dan menghalang laluan jalan utama.

Manakala di Jalan Kauluan Bukit Giling, kawasan jalan raya telah dinaiki air sehingga ke paras pinggang akibat daripada limpahan air sungai yang deras.

Di Kampung Bontoi-Jalan Bantayan, kawasan jalan raya juga telah dinaiki air.

Selain itu, APM Tuaran telah membantu memindahkan tujung orang mangsa dari Kampung Kauluan Bukit Giling ke kawasan yang selamat berikutan rumah mereka telah dinaiki air sehingga ke paras dada.