SIK: Hujan lebat berterusan melebihi dua jam mengakibatkan 15 buah rumah dan Madrasah As Solihin di Belakang Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Ampang Muda, Belantik, di sini, dilanda banjir kilat, malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengatakan air masuk ke rumah penduduk sekitar pukul 8.42 malam.

“Sebanyak 15 buah rumah terjejas dan daripada jumlah itu, hanya lapan keluarga berada dalam rumah manakala sebahagian lagi penghuni tiada di rumah.

"Mankala di Madrasah As Solihin ketika kejadian terdapat lapan pelajar lelaki dan empat perempuan serta dua kakitangan manakala pelajar lain sedang bercuti.

"Banjir kilat ini disebabkan hujan lebat berterusan selama dua jam menyebabkan air Sungai Belantik Dalam melimpah," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Zulkhairi yang mengetuai operasi itu bersama tujuh anggota BBP Sik berkata, pemantuan terus dilakukan sehingga awal pagi.

"Namun setakat ini tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.

"Bagaimanapun, pihak kami menasihatkan penduduk di kawasan yang terjejas supaya memaklumkan kepada pasukan penyelamat sekiranya kediaman mereka dinaiki air," katanya.