PPS di Balai Raya Bukit Balai dibuka pada 11.30 malam tadi, menempatkan mangsa dari Kampung Bukit Balai dan Kampung Bukit Tambun.
Bernama
Sat Jun 29 2024
Menurut Sekretariat JPBN Melaka, hujan lebat berterusan menyebabkan air sungai dan parit melimpah di kawasan penempatan yang rendah. - Gambar hiasan
MELAKA: Sebanyak 47 mangsa dari sembilan keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Balai Raya Bukit Balai, Durian Tunggal, Alor Gajah setakat 7.30 pagi ini susulan banjir kilat yang melanda sejak malam tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Melaka Lt Kol (PA) Kamarulsyah Muslim dalam kenyataan hari ini berkata PPS dibuka pada 11.30 malam tadi itu menempatkan mangsa dari Kampung Bukit Balai dan Kampung Bukit Tambun.
Beliau berkata hujan lebat berterusan menyebabkan air sungai dan parit melimpah di kawasan penempatan yang rendah.
Dalam kejadian hujan lebat 4 petang semalam, sebuah kereta mewah turut dilaporkan mengalami kerosakan manakala seorang penunggang motosikal cedera selepas kenderaan tersebut dihempap pokok tumbang dalam kejadian di Jalan Sungai Putat menghala Batu Berendam.
-- BERNAMA
Dapatkan info, ramalan cuaca dan berita terkini di sini