KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di seluruh negara mencatat sedikit penurunan kepada 128,952 orang pada jam 12.00 tengah hari ini berbanding 138,042 orang pada jam 6.00 pagi tadi.

Menurut Portal Info Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 38,512 keluarga ditempatkan di 577 pusat pemindahan sementara (PPS) di sembilan negeri.

Kelantan negeri paling teruk terjejas dengan 80,694 mangsa daripada 25,165 keluarga yang ditempatkan di 211 PPS.

Terengganu pula merekodkan 36,689 mangsa daripada 10,907 keluarga.

Sebanyak 247 PPS dibuka di daerah Dungun, Besut, Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Setiu, Kemaman dan Marang.

Di Perak sejumlah 540 mangsa banjir daripada 168 keluarga direkodkan dan berada di sembilan PPS yang dibuka.

Sementara itu, Kedah mencatatkan 7,965 mangsa daripada 2,448 keluarga yang ditempatkan di 45 PPS.

Bagi Pahang pula, sebanyak 25 PPS dibuka untuk menempatkan 1,602 mangsa banjir daripada 528 keluarga yang terjejas antaranya di Raub, Jerantut dan Lipis.

Johor mempunyai 846 mangsa banjir daripada 232  keluarga ditempatkan di satu PPS yang dibuka di Segamat.

Manakala Melaka merekodkan 233 mangsa banjir daripada 56 keluarga ditempatkan di empat PPS yang dibuka di Jasin, Melaka Tengah dan Alor Gajah.

Perlis pula mencatatkan seramai 225 mangsa banjir daripada 70 keluarga. Kesemua mereka ditempatkan di satu PPS yang dibuka di Arau.

Negeri terakhir terjejas ialah Negeri Sembilan dengan 158 mangsa daripada 48 keluarga yang ditempatkan di enam PPS  di Jempol, Kuala Pilah dan Tampin.