KUCHING: Pekebun kecil industri komoditi yang dikenal pasti terkesan berikutan banjir di Johor akan menerima bantuan bagi menggantikan peralatan rosak atau hilang akibat bencana itu, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata susulan perubahan iklim serta cuaca yang tidak menentu ketika ini, semua pemain industri komoditi di seluruh negara disaran bersedia berdepan risiko terhadap sektor berkenaan.

"Bagi peringkat agensi di bawah kementerian, kita akan bekerjasama dengan syarikat besar industri untuk mengadakan program tanggungjawab sosial korporat dan membantu pekebun kecil mendapat peralatan perladangan baharu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Karnival Bomba Komuniti Petra Jaya 2023 di sini, hari ini.

Menekankan aspek pengurusan amalan pertanian yang baik, beliau turut berkata kerajaan sedang mengenal pasti bantuan lain bagi memastikan mana-mana pekebun kecil yang terjejas dapat meneruskan aktiviti perladangan pascabanjir.

Baru-baru ini, Bernama melaporkan sektor komoditi pertanian termasuk minyak sawit berdepan bahaya tahun ini berikutan keadaan cuaca yang berubah-ubah boleh memusnahkan tanaman dalam masa dua hari.

Mengenai situasi banjir di negara, Johor masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi setakat 8 pagi tadi, dengan 44,937 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara diikuti Melaka dengan 380 mangsa dan Pahang (172).

-- BERNAMA