Ketua Polis Daerah Kuala Krai Supt Mazlan Mamat berkata ia berikutan keadaan banjir yang melanda jajahan ini masih terkawal dan faktor taburan hujan yang tidak terlalu banyak sejak semalam.
"Alhamdulillah keadaan banjir di Kuala Krai masih terkawal dan kita berpendapat masyarakat sudah ambil maklum mengenai situasi banjir yang berlaku di kawasan mereka," katanya ketika ditemui pemberita di Tangga Krai, di sini hari ini.
Mazlan berkata pasukan penyelamat seperti polis, bomba, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) juga telah membantu 30 wanita hamil dan tiga pesakit terlantar yang terjejas banjir untuk dihantar ke Hospital Kuala Krai untuk pemerhatian serta rawatan lanjut.
"Sebanyak 30 ibu mengandung dan tiga pesakit terlantar telah kita keluarkan dari kawasan terjejas banjir bermula Rabu lepas dan panggilan kerja-kerja menyelamat mangsa tidak lagi diterima sejak 10 malam tadi," katanya.
Beliau berkata setakat 12.30 tengah hari, satu pusat pemindahan sementara (PPS) telah ditutup di Kuala Pertang manakala 40 PPS dibuka di Kuala Krai dengan menempatkan 5,305 mangsa.
-- BERNAMA