KUALA LUMPUR: Kerajaan, Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) memperuntukkan dana permulaan RM50 juta bagi membantu proses pemulihan banjir ketika ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, jumlah itu merangkumi geran padanan berjumlah RM25 juta dari Kerajaan, manakala GLIC dan GLC akan bersama-sama memperuntukkan RM25 juta.

"Jumlah RM50 juta ini akan diaktifkan melalui GLC/GLIC Disaster Recovery Network (GDRN) bagi membantu mangsa bencana banjir.

"Sehubungan itu, semenjak 17 Disember 2021, GDRN telah mula memantau keadaan banjir seluruh negara.

"GLIC/GLC yang merupakan sebahagian dari GDRN telah mula turun padang untuk menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Antara bantuan termasuk daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang telah menyediakan pusat pembelajaran KWSP yang mempunyai 152 bilik sebagai pusat penempatan sementara bagi mangsa banjir.

Selain itu, Telekom Malaysia (TM) telah mengaktifkan pusat arahan krisis di seluruh negara dan Pasukan PAKAR semboyan TM kini bersedia untuk memberikan bantuan komunikasi dan perkhidmatan kecemasan yang melibatkan talian internet dan telefon seluruh negara.

Malah, TM turut menyediakan bantuan kepada kakitangan dan komuniti setempat yang terkesan akibat banjir.

"Pharmaniaga dan MASKargo yang sedang giat menghantar bantuan ke pusat-pusat penempatan semula bagi mangsa-mangsa banjir.

"Yayasan Sime Darby sedang menghulur bantuan kepada pekerja-perkerja dan komuniti yang tinggal di perladangan dibawah Sime Darby Plantations.

"Pharmaniaga, Malaysia Aviation Group dan GLC-GLC yang lain juga sedang membantu pekerja-pekerja mereka yang terjejas," katanya.

Tegasnya, kerajaan akan terus memantau keadaan dan MOF khususnya akan sentiasa bersedia untuk menyediakan peruntukan yang secukupnya bagi membantu mangsa banjir secepat mungkin.