Beberapa bahagian bangkai pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17, yang terlalu besar untuk dibawa dengan kereta api, tiba di Kharkiv, Ukraine dengan trak pada Sabtu.

Lembaga Keselamatan Belanda (DSB) dalam kenyataan melalui laman webnya www.onderzoeksraad.nl berkata serpihan lain yang dikeluarkan dari tapak nahas itu kini dalam perjalanan ke Kharkiv, Ukraine, lebih 300 kilometer dari Torez, dengan kereta api.

Kereta api 12 gerabak itu berlepas dari Torez pada pagi Ahad.

"Apabila bangkai pesawat tiba di Kharkiv, pengangkutan ke Belanda akan disediakan. Pada ketika ini, tidak dapat dipastikan bila dan bagaimana usaha mengangkutnya akan dijalankan," katanya.

Pada 17 Julai lepas, penerbangan MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dengan membawa 298 penumpang dan anak kapal.

Terdapat 193 penumpang warga Belanda dan 44 rakyat Malaysia dalam pesawat itu. Kesemua mangsa warga Malaysia telah dikenal pasti.

DSB berkata usaha mengeluarkan bangkai pesawat itu dimulakan pada 16 Nov dan menemui seberapa serpihan di tapak nahas untuk tujuan siasatan.

"Walaupun berdepan kerumitan dan situasi keselamatan setempat, pasukan itu dapat meneruskan usaha seperti dirancang di bawah bimbingan Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama Eropah (OSCE)," kata kenyataan itu.

Ia berkata pasukan itu disokong oleh perkhidmatan tempatan dan usaha itu dilaksanakan melalui kerjasama yang baik.

Walaupun operasi mengeluarkan bangkai pesawat MH17 sudah selesai, DSB berkata masih ada serpihan di tapak nahas dan perkhidmatan tempatan akan mengeluarkannya dari kawasan nahas seperti dipersetujui oleh pasukan terbabit.