Kekalahan 2-3 kepada Austria dalam perlawanan terakhir kumpulan menyaksikan skuad Oranje kendalian Ronald Koeman itu melepaskan peluang untuk mengungguli kumpulan sukar berkenaan, sebaliknya menamatkan sebagai salah satu pasukan terbaik di tempat ketiga kejohanan tersebut.
Keputusan itu akhirnya membawa tuah buat mereka setelah berjaya mengelak Jerman, Sepanyol, Portugal, Perancis dan Belgium dalam pusingan 16 apabila bakal berhitung dengan Romania, tengah malam Rabu depan.
Persembahan mereka dikritik hebat oleh media tempatan, lantas Van Dijk mengakui jangkaan skuad itu sendiri mungkin terlalu tinggi.
"Mungkin kami terlalu melebihkan diri sendiri," kata pertahanan itu kepada pemberita.
“Banyak yang perlu diperkatakan dan kami perlu menganalisis banyak perkara.
"Kami tersilap langkah ketika menentang Austria. Ia sangat teruk. Kami telah berbincang mengenai banyak aspek, kini kami perlu membuktikannya.
"Ia bukan kesilapan taktik. Dengan keinginan untuk menang, kami perlu memenangi bola kedua.
"Kami tidak perlu berbincang dengan jurulatih tentang hal itu kerana pemain perlu saling bekerjasama.
"Jadi, kami telah bercakap mengenai aspek ini menerusi kata-kata yang keras."