LABUAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) hari ini menahan dua kapal bekalan luar pesisir selepas dipercayai melakukan operasi pemindahan minyak dari kapal ke kapal (STS) secara haram di perairan Labuan.

Bot peronda APMM mengesan dua kapal berkenaan yang berada dalam keadaan mencurigakan di sekitar satu batu nautika dari pulau bebas cukai itu sekitar pukul 3 pagi.

Pengarah APMM Labuan Kapten Nudin Jusoh berkata kapten dan kru kedua-dua kapal (lima warga Malaysia dan tiga Indonesia), berusia antara 30 dan 50 tahun dibawa ke Zon Maritim Labuan untuk siasatan lanjut.

"Ketika pasukan kami mendekati kedua-dua kapal berkenaan untuk pemeriksaan didapati aktiviti pemindahan minyak secara haram sedang dijalankan dan mereka tidak memiliki dokumen sah yang membenarkan mereka melakukan pemindahan minyak dari kapal ke kapal," katanya kepada Bernama.

Kes tersebut akan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM100,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya.

--BERNAMA