KUALA LUMPUR: Aplikasi seeNi dan Kliik menjadi platform terbaharu yang dilancarkan sebuah syarikat tempatan, Nu Ideaktiv bertujuan memacu industri kreatif dan digital.

Platform berkenaan bukan hanya menyajikan kandungan video, artikel dan audio siar yang berkualiti tetapi turut memastikan data keselamatan pengguna terjamin.

Bagi memastikan pengguna berpuas hati, Ketua Pegawai Eksekutif Ideaktiv, Syamil Fahim Mohamed Fahim memberi nasihat awal kepada pencipta kandungan untuk mengutamakan kualiti berbanding kuantiti.

"Kita membayangkan kalau orang mahu lihat kandungan tempatan di Malaysia, mereka tidak lihat kepada Youtube tapi terus muat turun seeNi dan Kliik. Begitu juga orang luar, sama ada mereka di Indonesia atau di mana jua, mereka hanya muat turun aplikasi ini kerana inilah platformnya.

"Nasihat saya kepada pencipta kandungan pula ialah saya harap mereka jangan lupa kualiti kandungan bukan hanya terletak kepada jumlah tontonan dan tanda suka tapi yang penting ialah impaknya kepada masyarakat setempat," katanya.

Beliau berucap demikian ketika majlis pelancaran aplikasi berkenaan yang dirasmikan Naib Presiden Kanan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Datuk Fadzli Wahit di Kuala Lumpur pada Jumaat.

seeNi dan Kliik bukan hanya memberi hiburan kepada pengguna, malah menawarkan pelbagai ganjaran menerusi pertandingan interaktif serta pengetahuan baharu melalui seminar terpilih.

Mereka yang berminat boleh muat turun secara percuma di telefon pintar yang tersedia di Google Playstore, Apple Appstore dan Huawei App Gallery.