KUALA LUMPUR: Sudah dijangka, tapi tetap menggemparkan.

Khairy Jamaluddin, sosok yang dilihat umum sebagai pemimpin harapan masa depan negara dan UMNO, dipecat daripada parti itu yang menjadi wadah perjuangannya selama ini.

‘Silap’ beliau juga, terlalu lantang menegur kepimpinan tertinggi.

Namun, niatnya untuk mengembalikan maruah dan kegemilangan UMNO yang menjadi sandaran orang Melayu sejak lebih enam dekad, selepas tercalar susulan kes 1MDB.

Dari Rembau, beliau dihantar untuk merebut kerusi Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum ke-15. Kerusi bandar yang tradisinya bukan milik UMNO yang lebih selesa meraih kemenangan di luar bandar. Sudah nampak, namun, Khairy tetap mencuba.

Percubaannya gagal, kecundang bersama parti yang disayanginya. Bukan hanya tewas, tetapi tersungkur pilu apabila mencatat rekod terburuk sepanjang kewujudannya sebagai watak utama politik tanah air. Kerana itu, Khairy semakin lantang.

Beliau menggesa kepimpinan tertinggi parti bertanggungjawab, meletakkan jawatan dan berundur secara terhormat untuk memberi wajah baharu kepada UMNO yang perlu bangkit daripada kekalahan yang amat memalukan.

Namun suaranya tak diendah dan kuasa veto Presiden UMNO memutuskan UMNO bersama dengan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan.

Tiba Perhimpunan Agung UMNO pada 11 Januari tempoh hari, Khairy membawa suara akar umbi menuntut penjelasan daripada kepimpinan utama parti tentang keputusan untuk bersama PH itu.

Di pentas itu juga beliau menyatakan jelas hasratnya untuk merebut kerusi Presiden parti.

Namun terbit usul tambahan untuk tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi parti dan ia diluluskan.

Khairy membantah, mendakwa ada sesuatu yang tidak kena dengan keputusan itu.

Kerana tindakan membantah dan dakwaan ada pengundi ‘hantu’ terlibat dalam pengundian terhadap usul tambahan itu, masa depannya dibawa ke Lembaga Disiplin UMNO yang pada 28 Januari 2023 memutuskan untuk menyingkirkan Khairy daripada parti.

Kini Khairy adalah ‘ejen bebas’, tidak berparti, tidak terikat kepada mana-mana panji. Begitupun, beliau belum ‘mati’ dan sudah pasti perjalanannya takkan terhenti. Ke mana langkahnya selepas ini?

Adakah Khairy akan menyertai parti lain? Parti apa mungkin menjadi pilihannya? Atau mungkin beliau akan berehat seketika dari politik, sambil merencana semula langkahnya sebelum kembali berjuang hingga tercapai cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri?

Mungkin akan terjawab malam ini, eksklusif dalam Agenda AWANI jam 9 malam, hanya di saluran 501 Astro AWANI.