Ringkasan AI
- Mahkamah Tinggi melepas tanpa membebaskan (DNAA) Najib dan Mohd Irwan daripada enam tuduhan pecah amanah melibatkan harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion.
- Keputusan ini dibuat kerana pendakwaan tidak memenuhi sepenuhnya Kanun Tatacara Jenayah, dan perintah DNAA tidak memprejudiskan kes pendakwaan, yang bermaksud pendakwaan boleh menuduh mereka semula.
- Kes ini didaftarkan pada tahun 2018, tetapi perbicaraan tidak dapat diteruskan kerana pendakwaan tidak memenuhi peruntukan Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah, menyebabkan kelewatan melampau.
Tuduhan itu membabitkan harta Kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Najib dan Mohd Irwan melalui peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Datuk Seri K.Kumaraendran hari ini.
Beliau dalam alasan ringkasnya memutuskan demikian selepas mendapati pendakwaan tidak memenuhi sepenuhnya Kanun Tatacara Jenayah, serta dua alasan lain.
"Alasan ringkas saya yang pertama, pendakwaan tidak memenuhi sepenuhnya Kanun Tatacara Jenayah (CPC) dan yang kedua, perintah DNAA tidak memprejudiskan kes pendakwaan. Pendakwaan boleh menuduh kedua-dua tertuduh semula.
"Ketiga, kes ini didaftarkan pada tahun 2018 namun perbicaraan tidak dapat diteruskan walaupun tarikh perbicaraan telah ditetapkan beberapa kali kerana pendakwaan tidak memenuhi sepenuhnya peruntukan Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.
"Ini merupakan suatu kelewatan melampau, maka permohonan Najib selaku tertuduh pertama dan Mohd Irwan tertuduh kedua dalam notis usul dibenarkan," kata hakim.
Justeru, Muhammad Jamil dalam keputusan ringkasnya berkata berdasarkan fakta dan hal keadaan kes ini, mahkamah memerintahkan tertuduh pertama dan kedua dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) daripada keenam-enam pertuduhan.
"Oleh itu, tertuduh pertama dan kedua dilepaskan tanpa dibebaskan daripada keenam-enam pertuduhan, wang jamin dikembalikan kepada penjamin," kata Muhammad Jamil.
Pada 24 Oktober 2018, Najib, 71, dan Mohd Irwan, 67, mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan pecah amanah harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion, berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).
Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia, Putrajaya antara 21 Disember 2016 dan 18 Disember 2017 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.