Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata beliau tidak bersetuju jika penayangan filem ‘Tanda Putera’ disekat.

Bagaiamanapun beliau berpendapat orang ramai perlu diberikan maklumat mengenai filem tersebut termasuk isi kandungan ceritanya dan di mana ia mendapat dana.

“Guan Eng hanya menasihatkan dan bukannya menyekat filem itu untuk ditayangkan. Jika disekat, secara peribadi saya sendiri tidak akan setuju,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan Perutusan Kemerdekaan di ibu pejabat PKR pada Jumaat.

Katanya Malaysia sebagai sebuah negara bebas yang demokrasi dan merdeka, memberikan hak kepada sesiapa sahaja untuk menyampaikan pandangan termasuk penayangan filem Tanda Putera.

Namun, Anwar mendakwa filem itu terlalu dipromosikan seolah-olah ia satu propaganda oleh Barisan Nasional.

“Ia terlalu dipromosikan... ia dipromosikan di Felda, sekolah-sekolah, universiti malah ia juga mungkin dijadikan matapelajaran di Biro Tata Negara (BTN),” kata Ketua Umum PKR itu.

Semalam, kerajaan Pulau Pinang telah menafikan mengeluarkan larangan ke atas mana-mana panggung wayang di Pulau Pinang yang menayangkan filem Tanda Putera.

Sebaliknya, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memberitahu ia hanyalah nasihat dan tiada tindakan akan diambil kepada panggung yang menayangkannya.

“Sepertimana nasihat perjalanan yang dikeluarkan oleh kerajaan demi keselamatan rakyat yang melawat negara-negara yang bahaya, nasihat ini dikeluarkan kepada pengendali panggung wayang untuk menekankan kepada orang umum betapa bahayanya fitnah dalam filem ini yang mampu mengancam perpaduan nasional dan kaum di negara ini,” kata Lim.

Tindakan kerajaan DAP Pulau Pinang itu mendapat kritikan dari Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Katanya menghalang tayangan filem 'Tanda Putera' di pawagam di negeri itu membuktikan sikap hipokrit parti itu yang kononnya memperjuangkan kebebasan media dan kebebasan bersuara.

Tanda Putera merupakan sebuah filem biografi sejarah arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba berkisarkan mengenai perjuangan Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein dan timbalannya pada masa itu Tun Dr Ismail Abdul Rahman bersama-sama menyelesaikan rusuhan kaum pada 1969.

Hishamuddin turut menyifatkan tindakan DAP lebih bermotifkan politik dan cuba menutup sejarah sebenar negara.

Berikutan itu, beliau menyeru semua pihak supaya mengecam tindakan membuta tuli kerajaan DAP yang hanya akan membangkitkan kemarahan rakyat khususnya orang Melayu.