PUTRAJAYA: Bazar Aidilfitri terbesar di Lembah Klang, Anjung Syawal Festival Ramadan Putrajaya (FRP) 2025, bakal kembali untuk tahun ke-13 dengan menyediakan hampir 300 lot niaga sempena Ramadan tahun ini. 

Pengarah Urusan Raydiates Blue Sdn. Bhd., Rayme Zainal, selaku penganjur, berkata festival kali ini membawa tema ‘Memori Ramadan, Aspirasi Syawal’ yang menampilkan pelbagai aktiviti dan reruai menarik. Festival ini akan berlangsung dari 28 Februari hingga malam 1 Syawal, menjanjikan pengalaman meriah kepada pengunjung.

Menurut Rayme, konsep Anjung Syawal 2025 akan meraikan kekayaan budaya Melayu dan kesenian Islam yang menjadi tradisi turun temurun rakyat Malaysia, sama ada di bandar atau di kampung.

"Konsep kali ini bukan sekadar mengekalkan warisan budaya Melayu, tetapi juga menyelitkan elemen moden dalam sambutan Ramadan dan Syawal. Kami ingin menghubungkan tradisi lama dengan inovasi masa kini agar dapat menarik perhatian semua lapisan masyarakat, terutamanya generasi muda.

“Sebagai penganjur, kami berhasrat menanam rasa kecintaan terhadap warisan ini agar ia terus dihargai, walaupun dunia semakin dilanda arus kemodenan digital dan budaya luar,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.

Rayme turut berkongsi bahawa segmen baharu ‘Pangkin Seni’ dan ‘Serambi Santai’ akan diperkenalkan tahun ini, menyediakan ruang istirahat serta pelbagai aktiviti kebudayaan untuk pengunjung.

Bagi mengekalkan keunikan festival ini, khemah lutsinar berlampu akan disediakan sebagai ruang untuk berbuka puasa, menambahkan lagi daya tarikan kepada bazar tersebut.

Kemudahan pengunjung turut diberi perhatian dengan penyediaan lebih daripada 2,000 tapak parkir di sekitar kawasan utama Presint 3, Putrajaya.

“Kami menawarkan kadar bayaran parkir yang rendah dan berharap ia dapat memberikan keselesaan kepada pengunjung yang hadir untuk membeli-belah atau menyertai aktiviti yang disediakan.

“Kemudahan solat, solat berjemaah dan solat tarawih juga disediakan di lokasi berdekatan seperti Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin serta Badar Ramadan yang terletak tidak jauh dari kawasan festival,” jelas Rayme.

Peniaga yang berminat boleh mendapatkan booth jualan pada harga berpatutan untuk berniaga sepanjang lebih 30 hari festival berlangsung.

"Kami mengalu-alukan orang ramai untuk hadir dan merasai sendiri kemeriahan serta suasana santai dan unik di Anjung Syawal FRP 2025. Jangan lepaskan peluang ini kerana ia mungkin satu pengalaman yang tidak boleh didapati di tempat lain," katanya.