Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pameran ini akan membantu negara mempertingkatkan serta melakukan pengubahsuaian polisi keselamatan di negara ini.
"Usaha berterusan kita untuk keselamatan, kita cuma perlu klik maklumat itu. Kita cuma perlu sesuaikan di mana ada pengubahsuaian dari segi polisi kita laksanakan. Kita akan mengutip setiap kelebihan pameran ini untuk kita menambah baik.
"Ingatlah usaha untuk meningkatkan ini bukan statik. Ianya satu usaha yang dinamik, kena ada fokus, kena ada kesediaan untuk mengiktiraf bahawa sekarang sudah lahir pelbagai inovasi baru dan kita tak boleh beku dan puas hati dengan keadaan sekarang," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Persidangan dan Ekspo Keselamatan Antarabangsa Asia 2025 (AiSSE'25) di Putrajaya pada Ahad.
Tambah beliau, AiSSE'25 akan menampilkan pempamer membawa teknologi keselamatan terkini yang akan membantu negara bergerak menuju ke arah inovasi tersebut.
"Di acara ini nanti, daripada 300 pempamer. Anda tidak akan tengok contoh jentera besar macam pameran keselamatan yang lain. Tak ada pesawat dron besar. Kalau pergi pameran LIMA, ada banyak tetapi di sini kita akan tengok peranti kecil tetapi itu semua teknologi.
"Mempamerkan, membawa ke sini teknologi bermaksud mendorong kita untuk pergi ke arah inovasi," katanya lagi.