KUALA LUMPUR: 8,000 tempat duduk disediakan kepada pengunjung sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya pada Sabtu akan datang berbanding hanya 4,000 tempat duduk tahun lalu. 


Ringkasan AI
  • Peningkatan kapasiti tempat duduk: 8,000 tempat duduk disediakan tahun ini berbanding 4,000 tahun lalu.
  • Kemudahan tambahan: 400 tapak perkhemahan, 15 khemah perubatan, dan 200 tandas bergerak disediakan untuk pengunjung.
  • Tarikan baharu: Tapak perkhemahan 'glamping' di Taman Pancarona dengan caj sewaan bermula dari RM20 hingga RM55.


Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2024, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa berkata, 400 tapak perkhemahan juga dibuka kepada orang awam yang ingin bermalam sehari sebelum acara sambutan dan perarakan. 

“Tahun ini kita sediakan 8,000 tempat duduk. Kita juga sediakan 15 khemah perubatan untuk kemudahan pengunjung dan 200 tandas bergerak. 

“Tahun ini, antara tarikan yang hendak kita tonjolkan berdasarkan kepada maklum balas pengunjung sambutan Hari Kebangsaan tahun lalu iaitu penyediaan 400 tapak perkhemahan 'glamping'. 

“Maksudnya, kita sediakan tapak perkhemahan di Taman Pancarona di belakang Istana Kehakiman. Dari tapak perkhemahan itu pengunjung boleh berjalan kaki menuju ke lokasi perarakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.



Tambahnya caj bagi sewaan tapak perkhemahan yang terletak di Taman Pancarona itu bermula serendah RM20 sehingga RM55.

Terdahulu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan Hari Malaysia (HKHM) 2024 berkata dianggarkan 200,000 orang akan dapat merasai kemeriahan sambutan hari kebangsaan ke-67 tahun ini.