Ancaman Daish secara bersendirian atau dikenali sebagai 'lone wolf' lebih berbahaya berbanding ancaman Daish secara sel berkumpulan, kata Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun.

Beliau berkata ini kerana individu yang bergerak secara 'lone wolf' melakukan serangan secara senyap dan bertindak tanpa pengetahuan orang lain.

"Mereka ini (lone wolf) melakukan serangan secara tiba-tiba tanpa kita sedari dan ia agak sukar untuk dikesan pihak berkuasa negara," katanya kepada Bernama, di sini.

'Lone wolf' merujuk kepada individu yang hidup, bertindak bersendirian, dan mampu bertindak di luar batas serta mudah dipengaruhi.

Istilah berkenaan diambil daripada sifat serigala yang kadang-kadang akan terkeluar daripada kumpulannya dan hidup bersendirian. Lazimnya serigala ini lebih kuat, agresif dan berbahaya berbanding serigala biasa.

Menurut Mohamad Fuzi, hal itu terjadi kerana mereka ini terpengaruh dengan ideologi yang diperjuangkan Daish melalui pengamatan mereka terhadap media sosial atau video-video yang dikeluarkan kumpulan militan itu.

"Kebanyakan daripada mereka ini dipengaruhi dan dilatih menjadi radikal secara bersendirian menerusi media sosial.

"Sebagai contoh, sebelum ini kami ada menahan seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun di Kedah kerana cuba serang seorang wanita di sebuah pasar raya yang bergerak secara 'lone wolf'. Ini membuktikan ancaman 'lone wolf' ini wujud walaupun bukan dalam kalangan sel berkumpulan dan ia merupakan ancaman yang serius," katanya.

Pada 11 Januari lepas, seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun ditahan polis di sebuah pasar raya di Sungai Petani, Kedah kerana disyaki terlibat dalam kumpulan militan Daish.

Remaja berkenaan mengenakan pakaian serba hitam dengan mukanya ditutup 'ala-ala anggota kumpulan Daish' selepas dia didapati cuba menakut-nakutkan seorang wanita dengan memegang pisau di pasar raya berkenaan.

Pada 13 Ogos lepas, seorang remaja berusia 17 tahun yang ditahan di Sabah merancang melakukan serangan 'lone wolf' dengan menyembelih orang bukan Islam di Sandakan selepas menerima arahan daripada anggota Daish di Syria.

Pada 16 Jan lepas, seorang lelaki berumur 28 tahun ditahan di stesen LRT Setiawangsa kerana ingin melancarkan serangan bunuh diri (suicide bombing) selepas menerima arahan daripada Daish di Syria.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata setakat ini, tiga lelaki berkenaan berjaya ditahan kerana merancang melakukan serangan 'lone wolf' di negara ini sejak 2013.

Sementara itu, Felo Kanan Institut Kajian Strategik Islam Malaysia, Engku Ahmad Fadzil Engku Ali berkata ancaman 'lone wolf' mempunyai bahaya yang tersendiri yang tidak ada pada anggota Daish yang bergerak secara berkumpulan.

"Ini kerana 'lone wolf' lebih sukar untuk dikesan kerana tiada komunikasi yang boleh menjadi indikasi kepada aktiviti-aktiviti keganasan yang dirancang.

"Daripada sudut yang lain, ancaman berkumpulan Daish mungkin lebih efektif kerana ada kerjasama antara anggota kumpulan yang saling melengkapi antara satu sama lain," katanya.

Engku Ahmad berkata kelemahan anggota Daish yang bergerak secara sel berkumpulan ialah perancangan mereka lebih berkemungkinan dikesan berbanding 'lone wolf' kerana aktiviti mereka melibatkan komunikasi antara sesama anggota kumpulan yang boleh bocor. -Bernama