Anak lelaki Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Datuk Aminuddin Omar, maut dalam satu kemalangan jalanraya di Kilometer 12.7 Lebuhraya Utara Selatan dekat Changloon petang ini.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 4.30 petang itu, Irfan Aminudin, 20, yang menaiki kenderaan jenis Hilux bersama seorang lagi rakannya, dikatakan sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Tengku Sarina, Jitra selepas menghadiri satu majlis perkahwinan.

Ketua Operasi Bomba Balai Jitra Che Hisham Che Harun berkata, mangsa yang berada di sebelah tempat duduk pemandu mati serta merta akibat kecederaan parah di kepala selepas kenderaan mereka terlanggar sebatang pokok.


Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati kedua-dua mangsa tersepit di tempat duduk.

Anggota bomba terpaksa memotong pintu dan tempat duduk bagi mengeluarkan kedua-dua mangsa.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Jitra untuk bedah siasat.