KUCHING: Dua daripada tiga kluster baharu yang diisytihar di Sarawak berlaku akibat aktiviti semasa perayaan Hari Gawai lalu.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataan memaklumkan ia merupakan Kluster Kampung Sebandi Hilir di Lundu dan Kluster Melatai di Kapit.

Kluster Kampung Sebandi Hilir merupakan satu kluster komuniti dengan sembilan kes positif COVID-19 dikesan berpunca dari perhimpunan upacara miring pada 31 Mei 2021 sempena sambutan pra Hari Gawai.

"Selain itu, Kluster Melatai di Kapit juga merupakan satu kluster komuniti yang dikesan melibatkan penempatan di kawasan Melatai, Jalan Selirik, Kapit disebabkan oleh pergerakan sosial dan aktiviti ‘ngabang’ semasa sambutan Hari Gawai yang lalu.

"Sejumlah 139 individu telah disaring yang mana 45 kes telah dikesan positif COVID-19 termasuk kes indeks manakala 23 kes didapati negatif, dan 71 kes masih menunggu keputusan makmal," jelas kenyataan harian JPBN Sarawak pada Sabtu.

Kemas kini kenyataan JPBN Sarawak juga memberitahu, satu lagi kluster iaitu Kluster Kampung Tabuan Haji Drahman di daerah Kuching pula dikesan berpunca dari kontak ahli keluarga dan pergerakan sosial dalam kalangan penduduk di lokaliti tersebut yang menularkan jangkitan COVID-19 kepada 33 individu.

Katanya, kesemua kes positif COVID-19 ini telah dimasukkan ke hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) berdekatan bagi tujuan pengasingan serta rawatan lanjut.

"Sehubungan itu, jumlah kluster yang masih aktif di Sarawak ialah 82," katanya.

Sementara itu, Sarawak telah merekodkan 569 kes baharu COVID-19 pada Sabtu menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 54,899.

Empat kes kematian baharu turut dilaporkan melibatkan jangkitan COVID-19 menjadikan jumlah kematian akibat jangkitan COVID-19 telah meningkat kepada seramai 346 orang.