SUNGAI PETANI: Ibu kepada nelayan yang dilaporkan hilang di laut selepas tidak pulang ke pangkalan ketika merawai dekat Pulau Payar sejak Khamis lalu berharap anak serta cucunya akan pulang dengan selamat.

Halimah Saari, 68, ibu kepada Asrol Hisham Zainol, 47, serta nenek kepada Shahril Aiman Asrol Hisham, 17, berkata, nalurinya kuat berkata mereka masih hidup kerana anaknya telah lama menjadi nelayan dan tahu selok belok laut.

“Asrol anak kedua daripada enam beradik berpengalaman kerana telah lama menjadi seorang nelayan.

"Saya merasakan injin bot yang digunakan mereka mengalami kerosakan dan kemungkinan hanyut bukannya karam.

"Saya yakin mereka akan ditemui selamat dan ketika ini semua agensi penyelamat melakukan usaha mencari sejak dilaporkan hilang empat hari lalu," katanya.

Menurut Halimah, ketika kejadian anak dan cucunya itu ke laut bersama seorang kenalan bernama Mohamad Amin, berusia lingkungan 30 tahun yang tinggal di Taman Semarak untuk merawai ikan tenggiri di kawasan Pulau Payar.

"Anak saya Asrol tinggal bersama saya selepas bercerai dengan isterinya, pada 2015 lalu manakala cucu, Shahril Aiman pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Haji Abdul Kadir Kepala Batas tinggal dengan abangnya, Shahrul Iskandar, 19, di rumah ibu mereka di Taman Rhu, Tikam Batu.

"Shahril Aiman hanya akan mengikuti bapanya ke laut hanya semasa cuti sekolah menggunakan bot kepunyaan seorang lagi anak saya Aswadi, 43," katanya.

Menurut Halimah, sebelum anaknya turun ke laut pada pukul 12 tengahari Khamis lalu dia sempat mengingatkannya agar berhati-hati selepas mendapat maklumat keadaan laut khususnya di kawasan perairan Pulau Payar bergelora.

"Biasanya anak saya akan pulang dari merawai tiga atau empat jam kemudian namun mereka tidak pulang sehingga keesokan harinya.

"Kami juga cuba menghubungi talian telefon mereka namun gagal membuat saya cemas dan kerana bimbangkan keselamatan mereka saya menyuruh Asmawadi membuat laporan kehilangan mereka pada tengah malam Jumaat lalu," katanya.

Laporan sebelum ini tiga nelayan dikhuatiri hilang apabila tidak pulang ke pengkalan selepas melakukan aktiviti merawai dekat Pulau Payar sejak Khamis lalu.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi menerima panggilan daripada anggota polis mengenai kehilangan mangsa yang dibuat ahli keluarga.

Katanya, bertindak atas laporan yang diterima, MRSC Langkawi mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dan menggerakkan bot Perkasa 1224 ke lokasi selain dibantu aset polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam sehingga ke perairan Langkawi.