Sebuah kereta milik seorang lelaki diterbalikkan dan dibakar selepas terlibat dalam satu perselisihan faham di sebuat pusat hiburan dekat Medan Ipoh pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Sum Chang Keong berkata, dalam kejadian pada jam 5.30 pagi itu, mangsa turut diserang oleh sekumpulan lelaki sebelum itu.

Menurut beliau, ketika kejadian, mangsa bersama rakan-rakannya sedang berhibur di situ, apabila seorang kawannya terpijak kaki salah seorang suspek dan meminta maaf tetapi suspek terus menyerang kawan mangsa.

“Mangsa terus keluar dan masuk ke dalam keretanya tetapi ketika hendak beredar dia dihalang oleh kenderaan suspek dan suspek bersama tiga yang lain memecahkan kereta mangsa sehingga dia terpaksa lari masuk semula ke dalam pusat hiburan untuk bersembunyi,” katanya beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.

Sum berkata, selepas keluar dari pusat hiburan itu pada jam 6.30 pagi, mangsa mendapati keretanya dalam keadaan terbalik serta terbakar keseluruhannya.

“Kes ini diklasifikasikan di bawah Seksyen 148/435 Kanun Keseksaan dan siasatan diteruskan untuk mengesa serta menangkap suspek-suspek terlibat.

“Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan mengeluarkan sebarang kenyataan yang tidak benar berkaitan kes ini sehingga boleh menimbulkan isu perkauman kepada orang awam,” ujarnya.