KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) hanya akan membenarkan 30 peratus pegawai dan anggotanya untuk bercuti sempena Aidilfitri kali ini.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata selebihnya mereka akan bersiap siaga untuk menghadapi sebarang kes kecemasan.

Beliau berkata walaupun hanya 30 peratus dibenarkan bercuti, ia bergantung kepada keadaan semasa bagi negeri-negeri yang berpotensi berlaku kebakaran.

"Antaranya negeri-negeri yang terkesan dengan kekeringan akibat kemarau dan berpotensi untuk berlaku kebakaran dalam tempoh yang panjang dan kami akan catu cuti mereka (pegawai dan anggota).

"Kalau tidak cukup keanggotaan maka kami akan membekukan (cuti) mereka," katanya kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, JBPM akan melancarkan Op Raya Bomba pada 26 April ini sebagai langkah siap siaga menghadapi sambutan Aidilfitri.

Mohammad Hamdan berkata rondaan akan dibuat di kawasan perumahan yang menjadi titik panas kebakaran seminggu sebelum dan selepas hari raya pertama.

"Rondaan dibuat bagi melihat aspek risiko kebakaran dan memastikan tiada keberbahayaan yang boleh memudaratkan komuniti dan penghuni rumah atau bangunan-bangunan terlibat.

"Kami juga ingin memastikan bangunan-bangunan ini dalam keadaan selamat dan mengenal pasti sebarang punca yang boleh menyebabkan kebakaran supaya tindakan boleh diambil," katanya.

Beliau berkata JBPM juga akan memantau bangunan pengurusan komersial seperti pusat beli-belah yang kini aktif beroperasi susulan kemasukan negara ke Fasa Peralihan Ke Endemik supaya selamat dikunjungi daripada segi keselamatan kebakaran dan kemalangan.

Menurutnya, pihaknya juga akan bersedia di kawasan rehat dan rawat di lebuh raya yang dikategorikan sebagai titik panas kemalangan bagi memantau keselamatan pemandu yang pulang ke kampung masing-masing.

-- BERNAMA