Menurut laporan awal Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), banjir kilat tersebut telah mengakibatkan kesesakan lalu lintas di kawasan sekitar.
Dalam pada itu dengan kekuatan seramai tujuh anggota dan pegawai, pihak JBPM Selangor turut melaksanakan operasi menyelamat seorang warga emas berusia 86 tahun, selepas banjir melimpah masuk ke kediamannya di Kampung Sungai Kantan.
“Komander Operasi melaporkan, banjir paras paras buku lali telah memasuki sebuah rumah yang terdapat seorang mangsa warga emas berumur 86 tahun. Dia telah di bawa keluar oleh Anggota Bomba dan dibawa ke tempat selamat,” menurut laporan awal itu lagi.
Buat masa ini JBPM Selangor berkata situasi diklasifikasikan sebagai banjir kilat, dan keadaan kini sudah terkawal, namun Bomba masih meneruskan pemantauan di kawasan yang terjejas.
Berdasarkan portal Info Banjir, beberapa stesen merekodkan kenaikan air sungai melebihi paras bahaya, termasuk Sungai Langat di Pekan Kajang, Sungai Langat di Taman West Country Kajang, Sungai Klang di Selat Muara dan Sungai Klang di Bandar Klang.