KOTA BHARU: Sebanyak 445 tangki statik ditempatkan di kawasan sering mengalami gangguan bekalan air terawat di Kelantan sepanjang musim perayaan Aidilfitri tahun ini.

Pengurus Besar Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), Datuk Ir Dr Azuhan Mohamed berkata tangki statik tersebut ditempatkan di lokasi strategik seperti masjid, surau dan taman-taman perumahan bagi memudahkan pelanggan AKSB mengambil air.

"Pelbagai saiz tangki statik iaitu dari 250 hingga 2,000 gelen akan digunakan bergantung kepada keperluan setempat.

"AKSB memohon kerjasama pengguna dan orang awam supaya menyalurkan sebarang aduan termasuk insiden paip pecah atau bocor dengan segera ke platform aduan rasmi AKSB seperti aplikasi myAKSB, " katanya ketika dihubungi Bernama.

Azuhan berkata sebanyak sembilan lori tangki air AKSB dan 31 lori air kontrak turut digunakan untuk mengisi tangki statik bagi kegunaan premis seperti hospital, pusat pengajian, pusat komersial serta pelanggan yang memohon khusus untuk warga emas.

"Kebanyakan tangki statik dan lori air kontrak dibiayai peruntukan daripada kerajaan negeri Kelantan.

"Selain itu, bagi pelan mitigasi jangka panjang pula merangkumi pembinaan loji-loji baharu bagi membekalkan air terawat ke kawasan tersebut," katanya.

Sebelum ini, AKSB memaklumkan semua Loji Rawatan Air (LRA) AKSB akan beroperasi kapasiti maksimum dengan keseluruhan pengeluaran air sebanyak 519 juta liter sehari (JLH) bagi memenuhi permintaan dijangka meningkat sepanjang cuti perayaan Aidilfitri kali ini.

Kerja-kerja penyelengaraan berjadual di LRA yang boleh menyebabkan pengurangan pengeluaran ditunda selain akan memastikan stok bahan kimia di LRA mencukupi bagi pengoperasian loji sepanjang musim perayaan Hari Raya.

-- BERNAMA