Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sekiranya masih berlaku kekurangan, ia boleh ditampung menerusi import dari negara luar seperti Indonesia.
Menurutnya, ketika ini kerajaan juga memperhebat galakan kepada petani-petani meningkatkan hasil tanaman kelapa mereka agar dapat memenuhi permintaan yang tinggi.
“Sekarang harga santan agak tinggi dan kita akan menyambut perayaan Tahun Baharu China, kemudian Ramadan dan juga Hari Raya yang berturut turut.
“Jadi kita haraplah penaman-penaman kelapa yang ada sekarang ini berusaha supaya hasil mereka lebih tinggi untuk memenuhi permintaan tempatan kelapa itu,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita sempena lawatan ke Taman Agro Duriotourism di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Kuala Kangsar, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Mardi, Azman Ismail dan Ketua Pengarah Mardi, Mohamad Zabawi Abdul Ghani.
Mohamad berkata, pihaknya telah berunding dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) supaya dapat membawa masuk kelapa daripada luar khasnya Indonesia.
Bagaimanapun, katanya, untuk jangka panjang, KPKM menggalakkan pemilik ladang kelapa menanam lebih banyak tanaman itu.
“Sekarang, sudah banyak pengusaha baru menyedari bahawa penanaman kelapa ini sesuatu perkara yang menguntungkan,” ujarnya.
Pada Selasa, FAMA menerusi anak syarikat Famaco telah meningkatkan pembelian kelapa tua dari Indonesia kepada 320 metrik tan sebulan bermula Disember berbanding 180 metrik tan sebelum ini.
Langkah itu susulan penurunan bekalan kelapa tempatan sehingga 50 peratus di beberapa pasar utama termasuk Lembah Klang akibat faktor cuaca tidak menentu sejak tiga bulan lepas sehingga menjejaskan pengeluaran di ladang tempatan dan negara pengeksport.