KUALA LUMPUR: Kekerapan dilanda banjir membuatkan tahap kewaspadaan terhadap penyakit bawaan air semakin berkurangan.

Pakar Kesihatan Awam, Dr Farhan Rusli berkata, situasi itu amat membimbangkan kerana penyakit seperti kolera dan leptospirosis bukan perkara kecil, sebaliknya boleh membawa maut.

“Dari aspek kesihatan, banyak bahaya boleh berlaku apabila tidak berjaga-jaga. Air banjir secara lazimnya boleh membawa maut, mungkin kita tidak mati sebab banjir tetapi mati sebab penyakit yang dibawa banjir,” katanya dalam program Pantau Agenda Reformasi, pada Rabu.

Jelas Dr Farhan, keadaan akan menjadi lebih buruk jika mangsa tidak diberi rawatan pantas dan sebaik mungkin kerana kedudukan kawasan atau fasiliti kesihatan yang terjejas banjir.

"Kita lihat dalam video di media sosial, kedai-kedai makanan dibuka dalam banjir. Bagaimana kita boleh pastikan tidak berlaku kontaminasi? Belum lagi cerita tentang perkara lain seperti bendasing dalam makanan yang dihidang seperti dawai, paku dan sebagainya.

"Kita ambil satu situasi buruk dan mengatakan tidak apalah, kita sudah biasa. Kita ambil perkara luar biasa dan jadikannya kebiasaan. Ini yang jadi kebimbangan saya," katanya lagi.

Ujarnya, penyakit bawaan air boleh dielakkan dengan mengambil langkah berjaga-jaga seperti tidak bermain air dan memastikan mempunyai simpanan air bersih.

"Mangsa atau mereka yang sudah biasa mengalami banjir perlu sentiasa bersedia dengan bekalan air bersih seperti air mineral yang boleh digunakan bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga hari," ujarnya.

Dr Farhan turut mengingatkan kepentingan aspek kebersihan dan penyediaan makanan di pusat pemindahan sementara (PPS), khususnya membabitkan makanan mentah seperti ayam, telur dan sebagainya.