Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan, menyatakan bahawa langkah ini penting bagi memastikan ahli politik fokus kepada tanggungjawab sebagai wakil rakyat dan penggubal undang-undang yang baik.
“Mereka dipilih untuk mengurus hal ehwal kawasan dan menggubal undang-undang berdasarkan kehendak pengundi.
“Jika ingin menerajui GLC, mereka perlu bebas daripada pengaruh politik dan melepaskan semua jawatan serta afiliasi parti,” katanya kepada Astro AWANI pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menjelaskan bahawa pelantikan ahli lembaga pengarah syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan GLC akan berdasarkan kelayakan, termasuk untuk ahli politik.
Anwar turut menyebut bahawa pelantikan akan memberi keutamaan kepada golongan profesional, namun tidak mendiskriminasi ahli politik jika mereka memenuhi syarat kelayakan dan melepasi tapisan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis.
Mohan turut menambah, kehadiran ahli politik dalam lembaga pengarah GLC boleh membawa kepada penyalahgunaan kuasa, seperti yang berlaku dalam kes 1MDB.
“Untuk mengelakkan sejarah berulang, ahli politik harus memilih sama ada ingin berkhidmat sebagai wakil rakyat atau menerajui GLC, tetapi tidak kedua-duanya,” ujarnya.
Pakar ekonomi dari IDEAS Malaysia, Doris Liew, pula menyatakan bahawa walaupun kriteria kelayakan pelantikan adalah langkah positif, pelantikan ahli politik masih menimbulkan kebimbangan.
Bagaimanapun, Liew menegaskan bahawa ahli politik yang dilantik ke lembaga pengarah perlu memenuhi kriteria objektif yang ketat, termasuk kepakaran industri yang relevan, pemahaman tadbir urus korporat, dan rekod kepimpinan yang terbukti.
“Pemeriksaan konflik kepentingan juga penting untuk memastikan peranan politik tidak mengganggu matlamat organisasi,” katanya kepada Astro AWANI pada Selasa.