KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak pernah mengamalkan diskriminasi antara calon politik atau bukan, dalam pelantikan Ahli Lembaga Pengarah syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).


Ringkasan AI
  • Pelantikan Ahli Lembaga Pengarah GLIC dan GLC: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan tidak mengamalkan diskriminasi dalam pelantikan Ahli Lembaga Pengarah syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Keutamaan diberikan kepada golongan profesional dan berkelayakan yang perlu melalui proses semakan ketat oleh agensi penguatkuasaan seperti LHDN, Bank Negara, SPRM, dan polis.
  • Larangan Ahli Politik dalam Institusi Kewangan: Institusi kewangan dan beberapa agensi yang terikat kepada kewangan tidak membenarkan ahli politik dalam Ahli Lembaga Pengarah. Prinsip ini didukung oleh Bank Negara Malaysia.
  • Penubuhan Pejabat Penyelaras Rasionalisasi: Kerajaan memutuskan untuk menubuhkan pejabat penyelaras rasionalisasi badan-badan berkanun termasuk Syarikat Berhad Menurut Jaminan (CLBG). Tujuan penubuhan ini adalah untuk memastikan syarikat-syarikat tersebut mencapai matlamat asal mereka, menjana pertumbuhan, dan memenuhi agenda ekonomi MADANI termasuk kekuatan ekonomi Bumiputera.


Sebaliknya, Perdana Menteri memberitahu, keutamaan diberikan kepada golongan profesional dan berkelayakan, namun perlu melalui proses semakan yang ketat oleh beberapa agensi penguatkuasaan .

"Selain kelayakan lantikan Ahli Lembaga Pengarah juga perlu melalui beberapa proses termasuk semakan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis.

"Namun institusi kewangan dan beberapa agensi yang terikat kepada kewangan tidak diizinkan ahli politik dalam Ahli Lembaga.

"Itu memang tegas dan kita mendukung prinsip yang ditekankan oleh Bank Negara Malaysia," katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, di sini pada Selasa.

Beliau menjawab demikian kepada soalan tambahan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang mencadangkan Ahli Lembaga Pengarah GLC dan GLIC dipilih daripada golongan profesional dari sektor swasta yang berintegriti dan tidak mengamalkan lantikan dalam kalangan ahli politik atau pegawai kerajaan yang masih bertugas ataupun sudah bersara.

Dalam pada itu tambah  Anwar lagi, kerajaan juga memutuskan untuk menubuhkan pejabat penyelaras rasionalisasi badan-badan berkanun termasuk Syarikat Berhad Menurut Jaminan (CLBG).

Katanya, penubuhan pejabat penyelaras itu bagi memastikan semua syarikat terbabit mencapai matlamat asal iaitu menjana pertumbuhan, berdaya maju secara komersial, di samping memenuhi agenda negara serta ekonomi MADANI termasuk kekuatan ekonomi Bumiputera.

"Penubuhan badan-badan berkanun, Bahagian Pengurusan Pertubuhan (BPP) Persekutuan dan CLBG adalah bagi memenuhi maksud-maksud tertentu.

"Tetapi bila dikaji semula, memang ada pertindihan dan kadang-kadang perlu diperingatkan tentang matlamat asalnya… saya dah tengok itu dan kita putuskan untuk menubuhkan pejabat penyelaras rasionalisasi badan-badan berkanun termasuk CLBG," katanya.