KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan menerima Darjah Kebesaran Persekutuan yang dipersembahkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Negara di sini hari ini.

Menerusi catatan di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima Darjah Yang Maha Utama Kerabat Diraja Malaysia (DKM) dan Raja Permaisuri Agong berkenan menerima Darjah Utama Seri Mahkota Negara (DMN).

"Darjah Kebesaran DKM dipersembahkan oleh kerajaan Persekutuan kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong.

"Darjah Kebesaran DMN pula dipersembahkan kepada Raja Permaisuri Agong dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang ditabalkan menjadi Sultan dan Raja di negerinya serta orang yang paling dihormati," menurut catatan itu.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Hadir sama Peguam Negara Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri Datuk Awang Alik Jeman dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.

-- BERNAMA