Pesawat khas yang membawa Sultan Ibrahim berlepas dari Terminal Rasmi, Lapangan Terbang Beijing Capital di sini pada 9.28 pagi.
Mengiringi keberangkatan pulang Seri Paduka Baginda ke Malaysia ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Sementara itu, hadir mengiringi keberangkatan pulang Seri Paduka di lapangan terbang ialah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad.
Turut mengiringi keberangkatan pulang Sultan Ibrahim adalah Timbalan Menteri Luar China, Sun Weidong dan Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing.
Terdahulu, sebaik tiba di lapangan terbang Sultan Ibrahim menerima penghormatan daripada kawalan kehormat anggota Angkatan Tentera Republik Rakyat China.
Lawatan pertama Seri Paduka Baginda ke China selepas menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan, adalah atas jemputan Presiden Xi Jinping.
Yang di-Pertuan Agong memulakan Lawatan Negara pada Jumaat dengan diberi sambutan negara di Great Hall of the People di sini dan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong disambut oleh Xi.
Sejurus selepas itu, Sultan Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Xi di Dewan Timur, Great Hall of the People di Beijing, sebelum Seri Paduka Baginda menghadiri Majlis Santapan Negara yang diraikan Xi di bangunan sama.
Yang di-Pertuan Agong turut menerima menghadap Premier China Li Qiang di Dewan Timur, Great Hall of People.
Pada Sabtu, Sultan Ibrahim berkenan menamakan Kursi Pengajian Melayu yang terletak di Beijing Foreign Studies Universiy (BFSU) dengan nama Seri Paduka Baginda iaitu Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim.
Kementerian Pendidikan Tinggi memaklumkan penamaan Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim itu bertepatan dengan keakraban hubungan persahabatan Malaysia dan China, yang telah terjalin sejak Zaman Kesultanan Melayu Melaka.
Yang di-Pertuan Agong juga berkenan untuk meluangkan masa bertemu dan beramah mesra dengan diaspora Malaysia di China yang teruja untuk bertentang mata dengan Ketua Utama Negara Malaysia.
Mengakhiri Lawatan Negara, Seri Paduka Baginda berkenan berangkat ke Pusat Penyelidikan Teknologi Pesawat Awam Beijing (COMAC) bagi meninjau perkembangan teknologi penerbangan terkini China.
Sultan Ibrahim meluangkan masa lebih sejam di pusat berkenaan dan turut berkesempatan mencuba simulator penerbangan yang disediakan.
Yang di-Pertuan Agong kemudian berangkat ke Lapangan Terbang Beijing Capital bagi meninjau dua pesawat yang dibangunkan COMAC dan meluangkan masa hampir 45 minit.
Lawatan Negara Yang di-Pertuan Agong ini mencerminkan keutuhan hubungan dua hala antara Malaysia dengan China yang kian berkembang pesat sejak dinaik taraf kepada Kerjasama Strategik Komprehensif pada 2013.
Lawatan itu merupakan Lawatan Negara pertama oleh Yang di-Pertuan Agong ke China dalam tempoh 10 tahun, menandakan detik penting bagi kedua-dua negara ketika meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik.
Pada 2014, Yang di-Pertuan Agong ke-14 Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah mengadakan lawatan ke China atas jemputan Xi, bersempena dengan ulang tahun ke-40 hubungan Malaysia-China yang dijalin sejak 31 Mei 1974. - BERNAMA