KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke majlis santapan tengah hari alumni rakan kadet 1 Platoon, Alamein Company Royal Military Academy Sandhurst (RMAS) (1978 hingga 1979) di United Kingdom semalam.

Menurut hantaran di Facebook Istana Negara hari ini, majlis santapan tengah hari berkenaan berlangsung di Victory Services Club, London.

"Seri Paduka merupakan alumni RMAS yang pernah menjalani latihan ketenteraan dari tahun 1978 hingga 1979 dan ditauliahkan oleh mendiang Ratu Elizabeth II pada 1980," menurut catatan itu.

Menurut Istana Negara, Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kini berada di London bagi lawatan khas hingga 15 Ogos (Selasa).

Bernama sebelum ini melaporkan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan berangkat ke Istiadat Perbarisan Sovereign's Parade Pentauliahan paduka anakanda Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah di United Kingdom pada Jumaat lepas.

RMAS adalah sebuah institusi latihan ketenteraan tersohor dunia yang terkenal dalam pembangunan kepimpinan dan latihan asas ketenteraan serta pegawai tentera darat.

-- BERNAMA