KUALA LUMPUR: Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofia berkenan meninjau persiapan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 yang akan berlangsung pada 20 Julai depan di Istana Negara.


Ringkasan AI
  • Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofia berkenan meninjau persiapan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 yang akan berlangsung pada 20 Julai depan di Istana Negara.
  • Beberapa acara diatur bersempena dengan istiadat yang dijadual bermula pada 18 Julai depan dengan majlis bacaan Yasin dan doa selamat di Masjid Negara.
  • Acara lain termasuk Pameran Raja Kita yang akan berlangsung pada 25 Julai di Muzium Negara dan akan diakhiri dengan Jamuan Teh Diraja di Istana Negara pada 27 Julai.


Menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Baginda memperincikan beberapa persiapan menjelang Istiadat Pertabalan tersebut.

Ia termasuk persiapan Majlis Santapan Diraja yang akan berlangsung pada sebelah malam 20 Julai depan dan meneliti Cendera Kenangan yang akan diterima tetamu dan perhiasan bagi setiap acara yang berlangsung sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Pada masa sama, beberapa acara telah diatur bersempena dengan istiadat ini yang dijadual bermula pada 18 Julai depan dengan majlis bacaan Yasin dan doa selamat di Masjid Negara.

Ia kemudiannya diikuti dengan Khutbah Jumaat Khas yang akan berlangsung sehari sebelum Istiadat Pertabalan.

Selain itu, pada 23 Julai depan, Raja Zarith Sofiah dijadualkan berangkat ke Hospital Orang Asli Gombak.

Acara lain termasuk Pameran Raja Kita yang akan berlangsung pada 25 Julai di Muzium Negara dan akan diakhiri dengan Jamuan Teh Diraja di Istana Negara pada 27 Julai.