Beliau berkata dengan melihat masa hadapan yang cerah, Sarawak perlu mengoptimumkan peluang yang ada dengan mempelbagaikan peluang ekonomi baharu, seperti penubuhan hab industri aeroangkasa.
"Kita sedang berbincang dengan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz tentang aeroangkasa.
"Kita juga telah memulakan fakulti aeroangkasa di Kolej Universiti ICATS dengan sokongan pensyarah dari Univerisiti Teknologi Malaysia, Singapura dan Amerika Syarikat. Kami berharap langkah ini akan membantu mempelbagaikan ekonomi Sarawak dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan untuk generasi muda," katanya ketika berucap pada majlis Jamuan Teh Jabatan Premier Sarawak di Wisma Bapa Malaysia di sini, pada Isnin.
Sebelum ini, Tengku Zarul dilaporkan berkata kerajaan bercadang menjadikan Sarawak sebagai hab industri aeroangkasa negara, dan cadangan itu merupakan antara perkara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri Sarawak, baru-baru ini.
Abang Johari berkata adalah penting agar hak negeri dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dihormati oleh sesiapa sahaja yang menjadi Perdana Menteri.
"Dalam pertemuan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, tiga hari lepas di Kuala Lumpur, masalah berkaitan kuasa ke atas tanah dan simpanan karbon di continental shelf telah diselesaikan dengan baik dan beliau mengakui hak-hak tersebut.
"Dengan semua pencapaian ini, adalah penting kita melatih pemimpin muda untuk meneruskan usaha pembangunan negeri dan memperkukuh ekonomi bagi masa depan yang lebih cerah," tambahnya.
-- BERNAMA