KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di tujuh jajahan atau daerah di Kelantan bermula 16 hingga 29 April.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, keputusan melaksanakan PKP itu dibuat ekoran berlaku peningkatan kes mendadak dan atas persetujuan kerajaan Kelantan.

Ismail Sabri menjelaskan, tujuh daerah di Kelantan yang dikenakan PKP ialah Kota Bharu, Pasir Mas, Pasir Puteh, Bachok, Machang, Tumpat dan Tanah Merah.

"KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes sebanyak 30.5 peratus di negeri ini dalam tempoh 14 hari iaitu daripada 756 kes kepada 1,088 kes dan kesemua tujuh jajahan atau daerah ini berada di dalam Zon Merah.

"Selain itu, terdapat juga sembilan kluster baharu telah dilaporkan dalam tempoh 14 hari dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi," katanya dalam satu kenyataan berhubung perkembangan PKP.

Bagaimanapun semua sektor ekonomi dan perniagaan yang diluluskan oleh kementerian dan agensi yang berkaitan boleh beroperasi dalam tempoh PKP, katanya.

Beliau berkata, semua sekatan jalan raya akan diadakan di semua sempadan daerah dan negeri.