Kekosongan ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akhirnya terisi selepas Jawatankuasa Pemilih bermesyuarat pada Khamis.

Ahli-ahli Parlimen yang dilantik ke dalam PAC adalah Datuk Dr Makin @ Marcus Mojigoh (BN-Putatan), Datuk Ahmad Hamzah (BN-Jasin) dan Datuk Nawawi Ahmad (BN-Langkawi).

Mereka dipilih bagi menggantikan Datuk Madius Tangau (BN-Tuaran), Datuk Mas Ermieyati Shamsudin (BN-Masjid Tanah) dan juga Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (BN-Kepala Batas).

Ketiga-tiga ahli parlimen ini terpaksa meletakkan jawatan dalam PAC selepas dipanggil untuk menganggotai pentadbiran kerajaan susulan rombakan Kabinet pada Julai lepas.

Sementara itu, Datuk Koh Nai Kwong (BN-Alor Gajah) dipilih bagi menggantikan tempat Datuk Chua Tee Yong (BN-Labis) dalam PAC.

Chua dipilih menjadi Timbalan Menteri Kewangan dalam rombakan Kabinet pertama pada Jun 2014.

Manakala Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) pula dipilih menggantikan Datuk Kamaruddin Jaafar (PKR-Tumpat) yang telah meninggalkan PAS bagi menyertai PKR.