PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan bahawa siasatan berhubung syarikat Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) tidak akan tertumpu kepada isu-isu kelemahan pengurusan dan ketidakakuran peraturan.


Ringkasan AI
  • SPRM akan menyiasat elemen-elemen jenayah di bawah Akta SPRM 2009 berkaitan HRD Corp, bukan isu kelemahan pengurusan dan ketidakakuran peraturan.
  • SPRM mengambil dokumen berkaitan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dari Kementerian Sumber Manusia dan HRD Corp untuk siasatan.
  • SPRM menyeru semua pihak memberi ruang dan masa untuk proses siasatan dijalankan tanpa gangguan.


Sebaliknya, fokus utama siasatan SPRM adalah menjurus kepada elemen-elemen jenayah yang tertakluk di bawah Akta SPRM 2009.

Menurutnya, isu berhubung kelemahan pengurusan dan ketidakakuran peraturan telah dijelaskan dan diperkemaskan oleh pengurusan HRD Corp sewaktu Exit Conference dengan Jabatan Audit Negara sebelum ini.

"Hasil analisis awal mendapati 12 rumusan teguran yang diketengahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).

"Namun begitu, fokus utama siasatan SPRM menjurus kepada elemen-elemen jenayah yang tertakluk di bawah Akta SPRM 2009," katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.

SPRM turut mengesahkan mengambil dokumen-dokumen berkaitan LKAN dari Kementerian Sumber Manusia dan HRD Corp pada tengah hari, Selasa.

Sehubungan itu, SPRM menyeru semua pihak agar memberi ruang dan masa bagi proses siasatan itu dijalankan tanpa sebarang gangguan.

Sebelum ini, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan HRD Corp untuk melabur, dan pelaburan bukan matlamat penubuhan badan berkanun itu.