KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) tidak menyalahkan bekas presiden 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy bagi salah urus syarikat dana kekayaan kedaulatan itu pada 2016.

Penyiasat penipuan kewangan yang berpangkalan di United Kingdom, Richard Templeman mengakui bahawa beliau dan PAC telah mencapai kesimpulan berbeza berhubung krisis kewangan 1MDB, dengan beliau mengenal pasti Arul Kanda sebagai bertanggungjawab manakala PAC meletakkan kesalahan kepada bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Arul Kanda, Sanjay Mohan dalam tuntutan saman US$6.59 bilion 1MDB terhadap Arul Kanda dan dan bekas ketua setiausaha perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Sanjay: Templeman, lihat laporan PAC, lihat apa katanya. Adakah anda setuju kesimpulannya amat berbeza daripada apa yang anda katakan.

Templeman: Tidak, saya rasa saya tidak boleh beri sebarang komen mengenai perkara itu.

Sanjay: Templeman, maaf, tapi anda adalah saksi dalam kes ini. Anda buat tuduhan terhadap pelanggan kami. Anda seharusnya sudah baca laporan itu sebelum datang untuk beri keterangan. Sila lihat laporan itu sekali lagi dan jawab soalan saya. Penemuan anda berbeza dengan penemuan PAC pada 2016?

Templeman: Ya.

Templeman yang mempunyai pengalaman 24 tahun dalam menyiasat jenayah kewangan dan penipuan yang kompleks turut mengesahkan bahawa nama Arul Kanda tidak disebut dalam saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat pada 21 Julai 2016.

Pada 2016 PAC mengeluarkan laporan setebal 106 muka surat yang menyimpulkan bahawa masalah kewangan yang melanda 1MDB adalah disebabkan oleh salah urus oleh Shahrol Azral, yang mengetuai syarikat dana itu dari 2009 hingga 2013.

Selepas tempoh perkhidmatan Shahrol Azral, Mohd Hazem Abd Rahman memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif yang berkhidmat bagi tempoh yang singkat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB sebelum Arul Kanda mengambil alih dari awal 2015 hingga pertengahan 2018.

Pada Mei 2021 1MDB memfailkan saman terhadap Mohd Irwan dan Arul Kanda atas dakwaan pecah amanah dan konspirasi yang mengakibatkan kerugian US$1.83 bilion berkaitan pelaburan syarikat di dalam 1MDB-Petrosaudi Ltd, yang kemudiannya ditukar kepada Brazen Sky Limited pelaburan, yang dikatakan boleh diperoleh semula daripada Global Bridge Fund.

1MDB juga mendakwa kedua-dua defendan melakukan pecah amanah dan konspirasi dengan menyalahgunakan dana syarikat bernilai US$3.5 bilion yang dibayar kepada Aabar Investments dan US$1.265 bilion yang dibayar kepada International Petroleum Investment Company pada 9 Mei 2017.

1MDB menuntut ganti rugi US$6.59 bilion daripada kedua-dua defendan untuk pelanggaran ini dan tambahan RM2.9 juta daripada Mohd Irwan berkaitan lanjutan perjanjian pekerjaan.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan bersambung esok

-- BERNAMA