KUALA LUMPUR : Data Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan kes bunuh diri pada tahun 2019 adalah sebanyak 609 manakala tahun 2020 sebanyak 631 kes dan bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini pula sebanyak 468 kes dilaporkan.

Secara purata dua kes dilaporkan berlaku setiap hari sejak 2019 hingga Mei 2021.

Sehubungan itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan menasihatkan masyarakat umum, individu yang mengalami masalah seperti kewangan, kesihatan, tekanan perasaan atau kemurungan harus diberi bantuan atau sokongan bagi membendung bunuh diri.

Katanya, setiap lapisan masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing bagi membendung gejala itu.

“Individu yang mengalami masalah seperti kewangan, kesihatan, tekanan perasaan, kemurungan, masalah keluarga dan sebagainya haruslah diberikan bantuan serta sokongan daripada pihak keluarga dan rakan-rakan terdekat.

“Semua pihak yang bertanggungjawab terutamanya masyarakat harus memainkan peranan penting bagi membendung gejala ini,” katanya dalam kenyataan.

Siasatan turut mendapati tiga punca utama bunuh diri adalah masalah keluarga, tekanan perasaaan dan kewangan dengan cara bunuh diri yang kerap dilakukan adalah gantung diri (75.1 peratus), terjun bangunan (13.6 peratus) dan minum racun (5.7 peratus).

Mengulas lanjut Abd Jalil berkata,  mangsa yang terlibat pula berusia antara 15 hingga 18 tahun seramai 872 manakala mangsa berumur 19 hingga 40 tahun pula seramai 668 orang.



Befrienders adalah sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehari, 7 hari seminggu, kepada mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri.

Befrienders boleh dihubungi di talian 03-7627 2929 atau e-mel kepada sam@befrienders.org.my selain di laman sosial Facebook, Twitter, Instagram dan YouTube untuk bantuan.