PETALING JAYA: Program 42 Malaysia (42MY) menjadi antara medium utama dalam melahirkan tenaga mahir sektor digital dalam negara.

Ia merupakan sebahagian daripada inisiatif global yang bermula di Perancis dengan rangkaian 54 kampus di 31 negara, termasuk di Malaysia yang bertempat di Kampus 42 Kuala Lumpur (42KL) di Bandar Sunway, Selangor.

Inisiatif ini merupakan usaha sama antara Khazanah Nasional dan Sunway Education Group (SEG) dengan menawarkan peluang pendidikan inklusif secara percuma, terbuka kepada mereka yang berumur 17 tahun ke atas, tanpa mengira latar belakang pendidikan dan sosioekonomi.

Model Pendidikan '42' ini tertumpu kepada pendekatan pembelajaran berasaskan projek secara pembelajaran rakan setara (peer-to-peer) dan praktikal tanpa guru seperti pembelajaran konvensional.

42KL adalah sebuah sekolah sains komputer rakan setara (peer-to-peer) kelolaan 42MY.

Menurut salah seorang pelajar program berkenaan, Nur Almas, 20, pembelajaran melalui kaedah rakan setara ini  lebih efisien berbanding pembelajaran konvensional.

Malah ia turut membantunya membina rangkaian bersama pemain industri secara meluas.

“Saya merasakan bahawa pedagogi 42KL lebih efisien berbanding dengan kaedah pendidikan konvensional.

“Setakat ini, saya tidak menyesali pilihan saya, persekitaran di sini sangat menyeronokkan dan saya telah diperkenalkan kepada pelbagai peluang dari segi pembelajaran dan juga rangkaian,” ujarnya.

Selain itu, seorang lagi pelajar yang merupakan orang kurang upaya (OKU) bisu dan pekak, Eng Chuan, 35 berkata program 42MY memberi sinar baharu untuk dirinya mengenali bakat dan potensi dalam bidang pengekodan dan pendigitalan.

Hasil daripada pengetahuan yang diraih dari 42MY, Eng Chuan turut berkongsi bagaimana beliau berjaya mendapat peluang untuk menjalankan latihan industri di sektor teknologi kewangan atau 'fintech'.

“Bekerjasama dengan orang lain dalam projek telah meningkatkan kemahiran pengaturcaraan saya dengan ketara. Model pembelajaran rakan setara berfungsi dengan baik untuk saya, membolehkan saya belajar daripada kesilapan yang tidak dapat saya lihat tetapi rakan setara saya boleh belajar.

“Saya memohon latihan industri selama enam bulan dengan syarikat 'fintech'. Tugasan yang diberikan semasa latihan industri agak mencabar, tetapi berkat pengalaman belajar di 42KL, saya dapat menyiapkannya. Kemudian saya berjaya menamatkan latihan selama enam bulan pada Disember 2023, dan saya amat berpuas hati,” katanya.

Eng Chuan juga berkata, sebagai individu OKU, buat pertama kali dalam hidupnya, beliau merasa normal menerusi suasana pembelajaran 42KL yang kukuh dengan sokongan rakan setara.

42KL adalah sebuah sekolah sains komputer rakan setara kelolaan 42MY dan bertujuan untuk mempercepatkan pembangunan 10,000 bakat teknologi mahir dalam tempoh 10 tahun akan datang, selaras dengan aspirasi Ekonomi Madani untuk memperkasa rakyat Malaysia.

42MY juga adalah antara usaha penjanaan bakat melalui Future Malaysia Skills di bawah tonggak Dana Impak, sebahagian daripada strategi Memajukan Malaysia (Advancing Malaysia) yang dilaksanakan oleh Khazanah.

Selain membangunkan kumpulan bakat Malaysia, Future Malaysia Skills berperanan penting dalam merapatkan jurang besar antara bekalan dan permintaan modal insan berkemahiran, melengkapi inisiatif Future Malaysia Programme yang dilancarkan Khazanah Nasional tahun lalu.

Future Malaysia Programme adalah usaha menyokong ekosistem pemula tempatan yang terdiri daripada usahawan, syarikat pemula, modal teroka dan program usaha niaga korporat, melalui kerjasama dengan rakan kongsi tempatan dan antarabangsa.

Penggabungan usaha antara Future Malaysia Skills dan 42MY disasar menyalurkan bakat berterusan bagi memenuhi keperluan ekosistem industri digital di negara ini.

Program 42MY ketika ini dikendalikan di kampus 42KL dengan rancangan pengembangan ke negeri lain seperti Johor, Pulau Pinang dan Sarawak bagi membolehkan masyarakat seluruh negara mendapatkan akses kepada pendidikan berkualiti dan memupuk bakat teknologi untuk mendorong Malaysia menjadi peneraju ekonomi digital di rantau ini.

Di 42KL, dua sesi pengambilan akan dilakukan pada tahun ini termasuk pada 11 Mac ke 5 April dan 22 April ke 17 Mei 2024. Mereka yang berminat boleh memohon di www.42kl.edu.my dan tiada yuran dikenakan untuk program ini.

Antara rancangan masa depan 42MY adalah pengenalan 42 Iskandar Puteri (42IP) pada 24 Januari ini menerusi peluncuran laman web dan aplikasi bagi tujuan pendaftaran dan pendedahan untuk mana-mana individu yang berminat.