KUALA LUMPUR:Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam menahan 297 individu atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, daripada jumlah itu seramai 294 individu dikompaun manakala tiga lagi direman.

Sementara itu, katanya dalam Operasi Benteng, pasukan keselamatan berjaya menahan 22 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan empat tekong serta merampas empat kenderaan darat.

Selain itu, katanya 29 Op Sanitasi Awam telah dilaksanakan di 10 negeri dan Wilayah Persekutuan.

Mengenai kuarantin wajib, katanya seramai 93,563 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk antarabangsa sejak 24 Julai hingga 27 Disember.

"Seramai 7,414 individu menjalani kuarantin wajib, 539 dibawa ke hospital untuk rawatan dan 86,610 dibenarkan pulang," ujarnya.

Semalam, seramai 5,597 individu pulang ke tanah air dan dikuarantin, katanya.