Syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini menafikan dakwaan yang menyatakan akaun-akaun bank milik syarikat itu dibekukan berikutan siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa Switzerland.

"Setakat pengetahuan syarikat (1MDB), tiada satu akaun banknya telah dibekukan. 1MDB kini dalam proses memupuk kefahaman yang lebih baik dalam siasatan yang sedang dijalankan di Switzerland supaya syarikat ini dapat memberi kerjasama sepenuhnya," jelasnya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, Reuters dipetik sebagai berkata, pihak berkuasa Switzerland mengumumkan pembekuan beberapa akaun di beberapa bank di negara itu dalam proses siasatannya terhadap 1MDB.

Jurucakap Jabatan Peguam Negara Switzerland (OAG) berkata pihaknya telah membeku beberapa aset yang bernilai berpuluh-puluh juta dolar Amerika dalam akaun-akaun bank di negara itu.

"Pada peringkat awal prosedur, OAG sedang menganalisis dan mengumpul bahan-bahan bukti. OAG juga telah berhubung dengan pihak berkuasa Malaysia.

"Kerjasama antarabangsa dengan negara luar terutama dengan Malaysia mungkin diperlukan bagi mendapatkan bukti," jelasnya dalam satu email kepada Reuters.