KUALA LUMPUR: Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa mewakili 175 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam tampil menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di pintu 3, Istana Negara, pada Jumaat.

Mohd Zai berkata, memorandum ini adalah sebagai menjunjung titah nasihat Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Al-Haj, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al Sultan Abdullah Riayatuddin Al Mustafa Billah Shah.

Memorandum yang mewakili 175 NGO Islam itu, antara lain memohon campur tangan yang Dipertuan Agong agar pemimpin politik berhenti daripada berebut kuasa supaya negara terus aman dan harmoni.
 
"Jadi apa yang utama kita utarakan dalam memorandum adalah kita mengharapkan ke bawah Duli Yang Maha Mulia campur tangan supaya negara ini terus aman, stabil dan  harmoni serta dapat mengekalkan kerajaan yang ada untuk melaksanakan urusan berkaitan menangani COVID-19 dengan sebaiknya sehingga ia dapat terkawal," katanya.


Memorandum 175 NGO rayu campur tangan YDPA dan hentikan perebutan kuasa


Beliau juga meminta, para pemimpin kembali fokus kepada keselamatan dan kesejahteraan rakyat khususnya ketika mendepani pandemik ini.

"Selepas itu, sekiranya keadaan ini terkawal atau masih berterusan tidak stabil, bolehlah diserahkan kembali mandat itu kepada rakyat untuk diadakan satu pilihan raya supaya rakyat dapat memilih pemimpin politik yang betul-betul berjiwa rakyat untuk mentadbir negara ini" katanya.

Beliau turut berkata, satu perhimpunan melibatkan beberapa NGO akan dianjurkan secara maya menyatakan sokongan untuk menjunjung titah Seri Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah.